‘Menang dengan rendah hati, kalah dengan matang’ — Ahmad Ibrahim

Facebook
WhatsApp
SENATOR Dato' Ahmad Ibrahim ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, yang menekankan kepentingan disiplin, kawalan emosi dan sikap menghormati lawan dalam kalangan pemain e-sukan.

KUCHING: Pemain e-sukan bukan sahaja perlu memiliki kemahiran permainan yang tinggi, malah mesti mempunyai disiplin, mampu mengawal emosi serta menghormati pihak lawan bagi membentuk karakter sebagai seorang atlet.

Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, kejayaan dalam e-sukan tidak seharusnya diukur berdasarkan kemenangan semata-mata, sebaliknya turut mencerminkan sikap, kematangan dan disiplin seseorang pemain.

Katanya, pemain perlu tahu bagaimana untuk meraikan kemenangan dengan rendah hati serta menerima kekalahan secara matang tanpa menghina atau memperlekehkan pihak lawan.

“Menang dengan rendah hati dan menerima kekalahan dengan matang. Cara kita membawa diri ketika menang dan kalah mencerminkan karakter kita.

SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim bersama Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan cenderamata kepada atlet Sarawak, Jeff Tan Qi Rui, 16, dan Cindy Cheng Ming En, 15, yang antara penyumbang pingat emas Sarawak pada Sukma Selangor 2026 menerusi acara e-sukan.

“Seorang pemain mungkin dihormati kerana kemahirannya, tetapi dia akan lebih dihormati kerana sikap, disiplin dan kematangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, pemain Sarawak perlu dikenali bukan sahaja kerana kehebatan dalam permainan, tetapi juga kerana mempunyai adab, disiplin serta menghormati lawan.

Katanya, sikap agresif dan tindakan keterlaluan ketika pertandingan bukan sesuatu yang wajar, khususnya apabila sesuatu kejohanan disaksikan oleh masyarakat umum.

Beliau berkata, pengalaman menyaksikan insiden membabitkan seorang pemain pada temasya SukmA Selangor 2026 baru-baru ini menjadi peringatan bahawa kawalan emosi amat penting dalam kalangan atlet.

“Saya tidak mahu anak-anak muda kita berkelakuan sedemikian. Kamu mesti sentiasa tenang dan mampu mengawal emosi.

“Raikan kejayaan bersama pasukan, itu tidak salah, tetapi lakukan dengan sikap yang betul tanpa menghina, memperlekeh atau menunjukkan sikap agresif terhadap pihak lawan,” katanya ketika berkongsi pengalamannya mengikuti kontinjen Sarawak selama kira-kira dua minggu pada Sukma Selangor 2026 baru-baru ini, selain memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada atlet negeri.

Dalam pada itu, Ahmad berkata aspek disiplin juga perlu merangkumi keseimbangan antara gaming, pendidikan, kesihatan dan kehidupan berkeluarga.

Katanya, pemain yang mahu mencapai tahap tinggi perlu mempunyai disiplin seperti atlet, termasuk menetapkan masa latihan, memastikan pelajaran tidak terabai dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

“Gaming mesti ada disiplin. Belajar tetap penting, kesihatan tetap penting, keluarga tetap penting dan masa depan serta kerjaya juga penting,” katanya.

Menurutnya, kemahiran yang dibentuk melalui e-sukan seperti kerja berpasukan, komunikasi, strategi, disiplin dan membuat keputusan pantas turut mempunyai nilai penting dalam kehidupan seharian.

Ahmad berkata, peserta tidak seharusnya sekadar mengejar impian menjadi pemain hebat, sebaliknya perlu membina ilmu, kemahiran dan karakter yang baik.

“Jangan sekadar mahu menjadi pemain yang hebat. Jadilah juga anak muda yang mempunyai ilmu, disiplin, kemahiran dan karakter yang baik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan teknologi dan gaming sebagai sebahagian daripada kehidupan generasi muda yang tidak akan hilang, justeru pendekatan terbaik bukan sekadar melarang, tetapi mendidik mereka supaya menggunakannya secara bertanggungjawab, seimbang dan produktif.

Oleh Afiq Sallehi