FIFA terima tiga pencalonan bagi pemilihan presiden 2027

Facebook
WhatsApp
TIGA individu yang dicalonkan ialah Infantino (kiri), Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis Philippe Diallo (tengah) dan Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Jepun Kohzo Tashima. Foto fail AFP

ISTANBUL, 19 November: FIFA hari ini mengumumkan menerima tiga pencalonan bagi pemilihan presidennya pada 2027, dengan penyandang Gianni Infantino bakal dicabar oleh Philippe Diallo dari Perancis dan Kohzo Tashima dari Jepun, lapor Anadolu Ajansi.

Badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan bahawa persatuan anggotanya mengemukakan pencalonan berkenaan susulan pengumuman pemilihan yang dikeluarkan oleh Majlis FIFA pada 29 April.

Tiga individu yang dicalonkan ialah Infantino, Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis Philippe Diallo dan Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Jepun Kohzo Tashima.

FIFA memaklumkan bahawa pencalonan itu telah dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihannya untuk diteliti dan diputuskan sama ada calon berkenaan layak bertanding dalam pemilihan itu.

Menurut badan induk berkenaan, persatuan anggota akan dimaklumkan mengenai calon yang dicadangkan dan diluluskan untuk bertanding selewat-lewatnya pada 18 Februari 2027.

Pemilihan itu dijadualkan berlangsung pada 18 Mac 2027 semasa Kongres FIFA ke-77 di Rabat, Maghribi.

Kesemua 211 persatuan anggota FIFA mempunyai hak mengundi dalam pemilihan presiden berkenaan.

Infantino, yang menerajui FIFA sejak Februari 2016, berhasrat untuk mempertahankan jawatannya bagi satu lagi penggal empat tahun.

Diallo dan Tashima pula berusaha untuk menjadi presiden FIFA yang seterusnya, dengan pemenang dijangka memegang jawatan itu sehingga 2031. – Bernama

Juan Mata umum bersara daripada bola sepak

LONDON, 18 November: Bekas pemain tengah Manchester United Juan Mata mengumumkan persaraannya daripada bola sepak, lapor PA Media/dpa. Pemain berusia