Vinicius sedia rebut semula tempat di Real Madrid selepas kembali menyerlah bersama Brazil

Facebook
WhatsApp
REBUT TEMPAT... Vinicius Junior berpeluang kembali beraksi untuk Real Madrid menentang Celta Vigo selepas menjalani penggantungan empat perlawanan domestik. Foto AFP

MADRID, 20 November: Real Madrid merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga, Barcelona, kepada tiga mata tanpa kelibat Vinicius Junior, yang kini berdepan persaingan untuk merebut semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

Skuad kendalian Jose Mourinho berpeluang menyamai kutipan mata Barcelona buat sementara waktu apabila melayan kunjungan Celta Vigo di Santiago Bernabeu pada Sabtu. Vinicius kembali boleh diturunkan selepas menjalani penggantungan empat perlawanan domestik kerana menarik rambut pemain lawan.

Tanpa pemain sayap Brazil itu, Real Madrid menewaskan juara bertahan Barcelona dalam aksi El Clasico di Camp Nou sebelum turut mencatat kemenangan ke atas Sevilla, Racing Santander dan Valencia.

Dalam tempoh itu, Vinicius diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Madrid menewaskan AEK Athens dan RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara, namun masih belum menemui semula prestasi yang menjadikannya tonggak Los Blancos sejak beberapa tahun lalu.

Vinicius, yang menyertai Real Madrid dari Flamengo pada 2018, membina reputasi sebagai antara pemain penyerang paling berbahaya di dunia dan membantu kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 2022 dan 2024.

Namun, prestasinya merosot musim ini, dengan satu-satunya golnya untuk Madrid setakat ini dijaringkan ketika menentang Real Sociedad pada Ogos.

Dalam pada itu, Yan Diomande, pemain termahal dalam sejarah Real Madrid, pantas menyesuaikan diri dengan kelab baharunya. Empat gol dalam lapan penampilan terakhir mengukuhkan peluangnya untuk mengisi posisi sayap kiri.

Vinicius kembali menyerlah ketika bersama skuad Brazil kendalian bekas jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti, sepanjang rehat antarabangsa. Dia menjaringkan lima gol dalam dua aksi persahabatan menentang Jepun dan Singapura, dan berharap prestasi itu dapat diteruskan bersama kelabnya.

Vinicius mengakui tahap persediaannya merosot pada musim panas lalu, ketika dia dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Madrid sebelum menandatangani kontrak baharu sehingga 2032.

Penyingkiran mengejut Brazil di pusingan 16 terbaik Piala Dunia di tangan Norway yang dibarisi Erling Haaland turut memberi kesan kepadanya.

“Saya rasa persediaan saya selepas Piala Dunia tidak sebaik yang sepatutnya kerana kejohanan itu amat bermakna bagi seluruh rakyat Brazil. Kami tidak menjangka akan tersingkir seawal itu,” katanya kepada pemberita minggu ini.

“Saya gunakan waktu cuti untuk berehat, bersantai dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Akhirnya, saya kurang berlatih berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.”

Vinicius berkata, spekulasi mengenai masa depannya membuatkan dia berasa tertekan. Dia turut mengakui sukar untuk mengekalkan prestasi di tahap tertinggi.

“Saya rasa hanya Cristiano Ronaldo dan (Lionel) Messi mampu melakukannya selama bertahun-tahun dengan mengekalkan angka yang sama,” katanya.

“Saya manusia biasa. Saya sering melakukan kesilapan, tetapi saya sentiasa berusaha memperbaiki diri.”

Lebih gembira bersama Brazil

Sebelum menjaringkan lima gol menentang Jepun dan Singapura, Vinicius turut menjaringkan satu gol untuk Brazil dalam aksi persahabatan menentang Australia ketika rehat antarabangsa sebelumnya.

Bekas pemain Real Madrid, Predrag Mijatovic, memberitahu stesen radio Sepanyol, Cadena Ser, bahawa Vinicius kelihatan lebih gembira beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil.

“Saya rasa apa yang berlaku pada musim panas lalu agak menjejaskan Vinicius kerana dia ragu-ragu sama ada mahu kekal dan memperbaharui kontraknya. Musim ini pula, persaingan untuk merebut tempat semakin sengit.

“Diomande beraksi baik di posisi itu dan sekarang Mourinho perlu membuat keputusan.

“Yang jelas, Vini beraksi baik apabila dia gembira. Saya lihat dia jauh lebih gembira bermain untuk skuad kebangsaan berbanding di sini,” kata Mijatovic.

Dalam beberapa musim terdahulu, Vinicius lazimnya mempamerkan prestasi terbaik pada separuh kedua musim.

“Musim lalu, sehingga Disember, saya hanya menjaringkan lima gol. Kemudian, saya menamatkan musim dengan lebih 20 gol,” kata Vinicius.

Dia menjaringkan sekurang-kurangnya 22 gol untuk Madrid dalam setiap lima musim lalu.

Vinicius beberapa kali dikritik dan disorak ejek oleh penyokong sendiri. Mourinho tetap bersabar sambil menggesa pemain itu kembali mempamerkan penyudah tajamnya.

“Apabila berada pada tahap terbaik, Vini mampu menamatkan saingan dalam sesuatu perlawanan, seperti yang pernah dilakukannya terhadap pasukan saya ketika saya bersama Benfica,” kata jurulatih berpengalaman dari Portugal itu pada September.

Mourinho berharap kegembiraan Vinicius bersama Brazil dapat membantunya menemui semula prestasi terbaik dan ketajaman di depan gol bersama Madrid. – AFP