KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak memperkukuh kerjasama strategik antara agensi menerusi kunjungan hormat ke Pejabat Residen Bahagian Samarahan, hari ini.
Kunjungan itu diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa dan disambut Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang bersama pegawai kanan pejabat berkenaan.
Pertemuan itu menjadi platform bagi memperkemas kerjasama dalam aspek penyelarasan pentadbiran, perkongsian maklumat, keselamatan dan penguatkuasaan, selain meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani isu berkepentingan masyarakat serta keselamatan perairan.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu semasa yang mempunyai kepentingan bersama, selain mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh diperkasakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menurut Kepten Maritim Simon, kerjasama erat antara agensi kerajaan di peringkat negeri dan bahagian penting bagi memastikan isu keselamatan, penguatkuasaan serta kepentingan komuniti dapat ditangani menerusi pendekatan bersepadu.
“Maritim Malaysia Negeri Sarawak sentiasa komited memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, keselamatan maritim serta kesejahteraan masyarakat di Sarawak,” katanya.
Kerjasama rentas agensi itu turut mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan serta kepentingan komuniti maritim sentiasa terpelihara.
Maritim Malaysia Negeri Sarawak akan terus memperkasa jaringan strategik bersama Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan agensi berkaitan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, mempertahankan kedaulatan Zon Maritim Malaysia serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Oleh Shikin Mahmud




