BINTULU: Sebanyak 23 pintu Rumah Nura Buling di Sungai Teban, Labang di sini yang musnah dalam kebakaran semalam, menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing.
Bantuan itu telah disampaikan oleh Pegawai Khas Tiong, Steven Kong Kai Seng bersama ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif (PDP), Saging Layang kepada keluarga mangsa yang terjejas menerusi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu.
Menurut Steven, mereka sangat simpati dengan nasib yang menimpa penghuni rumah panjang tersebut dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Tong Seng Huat (Bintulu) Sdn Bhd kerana menyumbangkan barangan asas seperti beras dan gula yang sangat diperlukan pada saat kritikal ini.
“Kami amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk polis, bomba, dan pasukan penyelamat lain yang telah bertindak pantas untuk membantu.
“Kerjasama daripada semua pihak penting dalam memastikan bantuan sampai tepat pada masanya,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Kebajikan Malaysia juga segera turun padang untuk merekod maklumat mangsa dan menghantar bantuan seperti tilam dan selimut pada hari kejadian dan hari seterusnya.
Pada petang semalam, seramai 350 penghuni hilang tempat berteduh apabila keseluruhan blok 23 pintu rumah panjang tersebut musnah dalam kebakaran sekitar 3.32 petang.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Oleh Carolyne Utih