SIBU: Sebanyak 11 pasukan dari seluruh Sarawak menyertai Kejohanan Bola Jaring Antara Bahagian sempena Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sarawak 2026 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
Kejohanan selama dua hari hingga 9 Ogos itu membuka tirai dengan perlawanan antara Bintulu dan Betong.
Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan di peringkat negeri, malah menjadi platform untuk mengenal pasti pemain berpotensi bagi mewakili Sarawak ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA).
“Secara dasarnya, ini adalah program yang akan memberi platform kepada para pemain untuk berkongsi idea, berkongsi kemahiran dan juga mengeratkan hubungan antara wakil-wakil di peringkat bahagian di Sarawak.
“Ia juga melibatkan pemain daripada pelbagai agensi dan daerah,” katanya kepada pemberita.
Menurut Pengerusi MAKSAK Bahagian Sibu itu, Sibu selaku tuan rumah menghantar dua pasukan, iaitu Sibu A dan Sibu B, manakala sembilan pasukan lain mewakili Kuching, Bintulu, Kapit, Betong, Mukah, Sri Aman, Limbang, Sarikei dan Samarahan.
Upacara sepak mula kejohanan disempurnakan oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang, dan turut dihadiri Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Sibu, Nursyarmilla Jeruis.
Kejohanan itu menghimpunkan pemain daripada pelbagai agensi kerajaan dan daerah di seluruh Sarawak, dengan fokus memperkukuh pembangunan bola jaring serta memperluas peluang pemain ke peringkat lebih tinggi.
Oleh Tarani Lanting





