KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg menerima kejutan sempena ulang tahun kelahirannya ke-70 yang diraikan oleh anggota perkhidmatan awam negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya Kuching, semalam.
Ketibaan Ketua Menteri ditemani isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang disambut oleh para menteri dan ketua-ketua jabatan perkhidmatan awam negeri Sarawak.
Majlis ringkas anjuran anggota perkhidmatan awam negeri Sarawak itu dimulakan dengan bacaan doa selamat dan seterusnya beliau menyempurnakan upacara pemotongan kek hari jadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dalam ucapannya mewakili anggota perkhidmatan awam di negeri ini berkata, adalah satu keistimewaan untuk berpeluang bekerja di bawah kepimpinan Abang Jo yang banyak melakukan kemajuan dan pembangunan yang jelas menunjukkan hasratnya untuk membantu rakyat.
Katanya lagi, perkhidmatan awam negeri akan terus menerapkan kebijaksanaan dan aspirasi ketua menteri dengan tekun kepada rakyat serta komitmen tertinggi untuk memastikan rakyat mendapat yang terbaik daripada kerajaan Sarawak.
Abang Jo yang menyambut hari kelahirannya semalam juga menerima cenderamata daripada Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol.