MUNICH: Gol roket pada minit ke-63 menerusi pemain yang tampil kali pertama Jamie Leweling membantu Jerman menang 1-0 ke atas Belanda awal pagi tadi sekali gus layak ke pusingan kalah mati Liga Negara-Negara buat julung kali.
Pemain tengah Stuttgart itu dipanggil dari bangku simpanan selepas rakan sekelabnya Deniz Undav cedera ketika memanaskan badan.
Leweling pada mulanya dibatalkan golnya selepas minit kedua kerana ofsaid sebelum merembat kencang bola muntah susulan sepakan sudut Joshua Kimmich.
Pemain itu yang kelihatan berseri-seri memberitahu rangkaian Jerman, ZDF “kami menang sebagai satu pasukan, saya menjaringkan gol 1-0, kami menang 1-0, tetapi kami bertindak baik dan saya hanya gembira kerana dapat membantu.
“Belanda negara ternama, tetapi kami beraksi perlawanan yang bagus. Kami menggunakan peluang yang kami dapati dengan baik.”
Kapten Kimmich memberitahu wartawan pasukan itu bangga di sebalik senarai panjang kecederaan.
“Ada hanya tiga pemain di tengah padang berbanding lima minggu lalu menentang Belanda (seri 2-2 di gelanggang lawan), itulah sebabnya kami bangga dengan apa yang kami lakukan.
“Anda boleh lihat betapa gembiranya kami, betapa bangganya kami dengan persembahan hari ini.
“Kami mempunyai ramai pemain baharu, beberapa pemain muda, malangnya banyak kecederaan tetapi anda tidak begitu perasan perbezaannya.
“Jamie tampil kali pertama dengan memberangsangkan – tidak selalu anda mendapat sambutan dan tepukan sebegitu di Allianz Arena – dia bertindak cemerlang.”
Kapten Belanda, Stefan de Vrij memberitahu UEFA “ini bukannya perlawanan yang kami mahukan. Kami sedar Jerman satu pasukan yang amat kuat. Kami perlu mengkaji semula dan meningkat.
“Kami yakin mengenai peluang kami dalam Liga Negara-Negara. Bulan depan pasti genting, terutamanya perlawanan pertama menentang Hungary, tetapi kami akan kekal positif dan cuba memenangi perlawanan itu.”
Oliver Baumann, pada usia 34 tahun penjaga gol paling tua membuat penampilan sulung dalam sejarah Jerman, menyelamatkan satu percubaan berbahaya Donyell Malen pada minit terakhir bagi memastikan kemenangan pasukannya.
Belanda, yang kehilangan kapten yang digantung perlawanan Virgil van Dijk, bertindak buruk hingga ke minit terakhir.
Mereka kekal di tangga kedua kumpulan itu tetapi hanya dengan perbezaan gol di depan Hungary, yang menewaskan Bosnia 2-0.
Sebelum perlawanan itu, tuan rumah mengucapkan selamat tinggal kepada veteran antarabangsa Manuel Neuer, Thomas Mueller, Ilkay Gundogan dan Toni Kroos, semuanya bersara selepas Euro di laman sendiri pada musim panas lalu. – AFP