MIRI, 20 Oktober: Orang ramai berpeluang menjalani pelbagai pemeriksaan kesihatan percuma serta menderma darah menerusi program anjuran Bulan Sabit Merah (BSMM) Cawangan Miri pada 25 Oktober ini.
Program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang di premis BSMM Cawangan Miri itu menyediakan pelbagai aktiviti kesihatan, termasuk pemeriksaan tekanan darah, paras glukosa dan asid urik, analisis komposisi lemak badan serta penilaian fisioterapi.
Pengunjung wanita berusia 40 tahun ke atas yang memenuhi syarat turut berpeluang mendaftar untuk menjalani pemeriksaan mamogram percuma.
Selain pemeriksaan kesihatan, program itu turut menyediakan kempen derma darah dari 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di Dewan Aster BSMM Miri, manakala sesi kesedaran kesihatan berlangsung dari 8.30 hingga 11.30 pagi.
Penganjuran itu turut memberi penekanan kepada kesedaran mengenai kesihatan mental dan pendermaan organ menerusi Kempen Kesihatan Mental Sedunia serta ikrar pendermaan organ.
Sempena kempen Oktober Merah Jambu, pelbagai aktiviti kesihatan dan latihan bantuan pernafasan dan pemulihan jantung (CPR) turut disediakan. Pengunjung juga berpeluang menikmati urutan relaksasi tradisional percuma selama 10 minit, tertakluk kepada syarat dan ketersediaan.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan Pasar Kraf Kemanusiaan yang menawarkan pelbagai produk kraf, makanan tempatan dan perkhidmatan daripada usahawan setempat.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi BSMM Cawangan Miri menerusi talian 085-411121 atau 011-54065045.
Oleh Liong Chai Ling




