
SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki motosikal curi.
Majistret Romario Jonoi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lukman Sinring, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebuah motosikal curi pada 19 Februari sekitar jam 5.30 petang di tepi sebuah ladang di Ulu Sungai Dijih, Mukah.
Mengikut fakta kes, pada 5 Februari sekitar 1.00 pagi, pengadu terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi mencurigakan di bahagian bawah rumahnya.
Setelah memeriksa, dia mendapati barang-barang berselerakan di lantai dan beberapa kunci, termasuk dua kunci motosikal serta satu kunci kereta, telah hilang.
Pengadu kemudian keluar rumah dan mendapati sebuah motosikal serta sebuah kereta telah lesap sebelum membuat laporan polis.
Hasil siasatan, polis menahan tertuduh pada 19 Februari di sebuah kedai kopi di Stapang.
Lelaki itu kemudian membawa polis ke lokasi motosikal berkenaan disimpan.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku membeli motosikal tersebut daripada seorang lelaki yang tidak dikenali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Kumareswaran Murugan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh Tarani Lanting