SERIAN: Seramai 14 individu tempatan, terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 58 tahun, masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Serian hari ini selepas didapati bersalah atas kesalahan merusuh dengan menggunakan senjata.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, kesemua 14 tertuduh telah didakwa secara berasingan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, dua daripada tertuduh lelaki turut didakwa secara berasingan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap sebuah kenderaan.
“Bagi kesalahan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap setiap seorang daripada dua tertuduh berkenaan,” katanya hari ini.
Freddy menegaskan bahawa pihak polis memandang serius sebarang perbuatan merusuh, penggunaan senjata dan khianat yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan sedemikian,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri, sebaliknya menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran undang-undang yang sah.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah hendaklah segera disalurkan kepada pihak polis,” katanya.




