Inkues: Pemeriksa dokumen kekal kesimpulan catatan jurnal ditulis Zara Qairina

Facebook
WhatsApp

KOTA KINABALU: Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia hari ini kekal dengan kesimpulan bahawa catatan tulisan tangan pada beberapa halaman jurnal bertanda W2 dan W3, yang dipercayai milik Zara Qairina Mahathir, ditulis oleh remaja berkenaan.

Nurul Atiqah Mohd Noh, yang dipanggil semula memberi keterangan, berkata kesimpulan itu tidak berubah selepas beliau menjalankan pemeriksaan kali pertama dan kedua terhadap bahan yang dikemukakan sebagai ekshibit dalam prosiding inkues kematian remaja terbabit.

Beliau berkata pendapatnya kekal meskipun terdapat perbezaan pandangan antara pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan Dr Linthini Gannetion serta Tay Eue Kam yang turut memberi keterangan mengenai perkara tersebut dalam inkues berkenaan.

“Saya masih berpendapat yang semua tulisan tangan dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina),” katanya ketika ditanya Koroner Amir Shah Amir Hassan mengenai perkara itu dalam prosiding di sini hari ini.

Nurul Atiqah yang pertama kali memberi keterangan pada September 2025 menjelaskan bahawa semua pemeriksaan dokumen menggunakan kaedah perbandingan berpandukan standard antarabangsa yang ditetapkan walaupun melibatkan instrumen berbeza.

Sementara itu, ketika disoal Pegawai Pengendali inkues Dana Arabi Wazani, Nurul Atiqah berkata semasa pemeriksaan awal, beliau mendapati tulisan tangan bagi halaman 3 hingga 6, 15-24, 38-45, 47-57 dan 65-72 dalam W3 mempunyai ciri sama dengan tulisan pada halaman 90 hingga 103.

Selepas membuat perbandingan dengan contoh tulisan tangan Zara Qairina, beliau berpendapat kesemua tulisan tangan pada muka surat tersebut ditulis oleh remaja berkenaan.

Nurul Atiqah turut mengekalkan kesimpulan bahawa halaman 19, 40-42, 66-72, 92, 93, 96-98 dalam jurnal ditandakan W3 serta kebanyakan catatan dalam W2 adalah ditulis oleh Zara Qairina

Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, beliau turut mendapati catatan dalam helaian bertanda Y1 dan Y11a hingga Y15b turut ditulis oleh remaja terbabit.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4.00 pagi.

Prosiding inkues bersambung pada 5 Oktober. – Bernama