BINTANGOR: Pendekatan membawa perkhidmatan terus ke komuniti menjadi antara usaha memastikan masyarakat di Meradong tidak tercicir daripada memperoleh maklumat dan manfaat pelbagai bantuan serta inisiatif yang disediakan untuk rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pendekatan turun padang menerusi program Mobile Service 2U membolehkan penduduk mendapatkan penerangan dan khidmat nasihat secara lebih mudah.
“Mobile Service 2U merupakan satu inisiatif untuk memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta bantuan berkaitan pelbagai kemudahan dan inisiatif yang disediakan untuk rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program tersebut yang merupakan anjuran SUPP Cawangan Bintangor yang diadakan di sebuah kedai kopi di Sungai Bakong semalam.
Ding turut meluangkan masa bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan penduduk bagi mendengar pertanyaan serta perkara yang memerlukan perhatian.
Antara perkhidmatan dan bantuan yang diketengahkan ialah Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Kad Emas Kenyalang (KGC), SarawakPay, SarawakPass, subsidi diesel serta bantuan pertanian Agri-Komoditi.
Katanya, pendekatan bersemuka memberi ruang kepada masyarakat bukan sahaja mengetahui bantuan yang tersedia, malah mendapatkan panduan mengenai proses permohonan dan syarat kelayakan bagi perkhidmatan tertentu.
“Usaha sebegini amat penting bagi memastikan masyarakat di kawasan Meradong, termasuk penduduk di Sungai Bakong, tidak ketinggalan dalam mendapatkan manfaat daripada pelbagai bantuan, kemudahan dan inisiatif yang disediakan,” katanya.
Pada masa sama, program tersebut menjadi saluran bagi SUPP Cawangan Bintangor memahami keperluan masyarakat di peringkat akar umbi menerusi interaksi secara terus dengan penduduk.
“Pendekatan turun padang akan terus diberi penekanan kerana ia membolehkan isu atau kekeliruan berkaitan sesuatu bantuan dikenal pasti dan diterangkan kepada penduduk dengan lebih berkesan.
“Dengan semangat Maju Meradong Bersama, program Mobile Service 2U akan terus menjadi salah satu platform untuk mendengar suara rakyat, memahami keperluan masyarakat serta membantu memudah cara urusan penduduk di peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek




