Suspek kes bunuh kanak-kanak dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu

Facebook
WhatsApp
TERTUDUH....Diiring keluar dari Mahkamah Majistret setelah dibacakan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SIBU: Suspek kes bunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Jalan Rantau Panjang Jaya pada 28 Ogos lepas, dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada tertuduh yang berumur 49 tahun sebaik pertuduhan dibaca dan diterangkan kepadanya di hadapan Majistret Romario Jonoi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Berdasarkan pertudunan yang dibacakan, tertuduh didakwa membunuh mangsa berumur lima tahun yang juga anak saudaranya di sebuah rumah pada 28 Ogos 2026, lebih kurang 1.30 petang.

Terdahulu ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto memberitahu kepada mahkamah bahawa kebenaran Pendakwa Raya, sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah, masih belum diperoleh.

Menurutnya, kebenaran tersebut masih belum diperoleh kerana pihak Pendakwaan sedang dalam proses melengkapkan siasatan yang diperlukan serta mendapatkan laporan-laporan berkaitan untuk pertimbangan Pendakwa Raya.

“Laporan-laporan ini termasuk laporan bedah siasat, laporan ahli kimia dan laporan psikiatri,” ujarnya.

Mark berkata, memandangkan kebenaran Pendakwa Raya yang diperlukan masih belum diperoleh, beliau tidak memohon supaya apa-apa pengakuan direkodkan daripada tertuduh pada peringkat ini dan juga tidak memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sibu pada ketika ini.

“Setelah pertuduhan dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh, saya dengan rendah diri memohon agar tertuduh direman dalam tahanan sementara menunggu penyempurnaan perkara-perkara siasatan yang masih belum selesai serta mendapatkan kebenaran daripada Pendakwa Raya.

“Saya juga dengan rendah diri memohon agar mahkamah ini menetapkan satu tarikh sebutan bagi memantau status kebenaran Pendakwa Raya tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menyalahguna dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine, satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di Balai Polis Sentral pada 28 Ogos 2026, lebih kurang 8.00 malam.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh dan mahkamah menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes.

Oleh Akun Giman