LIVERPOOL, United Kingdom: Andoni Iraola berkata jelas bahawa Liverpool keletihan ketika seri 0-0 menentang Fulham di laman sendiri pada Sabtu, namun menegaskan pemainnya perlu menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan yang padat.
Kurang tiga hari selepas menewaskan Atletico Madrid 2-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara, Liverpool gagal menembusi pertahanan Fulham yang sebelum ini tewas dalam tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Alvaro Arbeloa.
“Pemain kami keletihan. Kami tidak boleh menafikannya. Saya fikir tempoh rehat sekitar 60 jam antara kedua-dua perlawanan ini adalah yang paling singkat, selepas kami beraksi dalam perlawanan yang sangat penting sebelum ini,” kata Iraola.
“Situasi seperti ini akan berlaku lagi, mungkin dengan tambahan sehari untuk berehat, tetapi ada kalanya keadaan yang sama akan berlaku sepanjang musim. Kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini.
“Dalam perlawanan seperti inilah anda perlu meraih kemenangan; kadangkala menerusi sepakan set-piece, rembatan dari luar kotak penalti atau detik kecemerlangan pemain serangan. Namun, kami tidak berjaya melakukannya hari ini.”
Bradley Barcola gagal menyerlah dalam penampilan sulungnya sebagai pemain kesebelasan utama di Liga Perdana Inggeris, ketika barisan serangan Liverpool yang bernilai hampir £500 juta (RM2.75 bilion), turut dibarisi Florian Wirtz, Alexander Isak dan Victor Munoz, turut bergelut untuk mencipta impak.
Iraola masih belum tewas sejak mengambil alih tugas di kelab juara England sebanyak 20 kali itu, namun tiga daripada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris pertamanya kini berakhir dengan keputusan seri yang mengecewakan.
“Ini merupakan perlawanan pertama sejak saya mengambil alih tugas di sini yang menyaksikan kami menghadapi masalah untuk mencipta peluang, menjaringkan gol dan mencipta perbezaan di bahagian serangan,” kata Iraola.
“Itulah sebab utama kami tidak mampu mencipta sebanyak peluang seperti yang kami mahukan.” – AFP





