BINTULU: Seorang lelaki ditemui rentung dalam insiden kebakaran lori melibatkan dua kenderaan berat di Batu 27, Jalan Bintulu-Miri, malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.01 malam.
Difahamkan, kemalangan itu membabitkan sebuah lori yang membawa muatan batu merempuh belakang lori lain yang membawa kayu balak.
“Sebaik anggota bomba tiba di lokasi, didapati lori yang membawa muatan batu telah terbakar hampir 100 peratus.
“Menurut saksi, seorang mangsa dipercayai pemandu lori masih tersepit di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Anggota bomba seterusnya melakukan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari sumber jentera bomba.
“Mangsa ditemui rentung di tempat duduk pemandu selepas api berjaya dipadam sepenuhnya.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori membawa muatan balak pula dilaporkan tidak dapat dikesan di lokasi kejadian.