Pejalan kaki 79 tahun maut dilanggar MPV di Batu Kawa

Facebook
WhatsApp
KEADAAN kemalangan di Jalan Field Force, Batu Kawa, berhampiran simpang Lorong Field Force 3, malam tadi.

KUCHING: Seorang lelaki berusia 79 tahun maut selepas dilanggar sebuah Perodua Alza di Jalan Field Force, Batu Kawa, berhampiran simpang Lorong Field Force 3, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata kemalangan maut itu berlaku kira-kira 7.22 malam pada 16 September, melibatkan sebuah MPV dan seorang pejalan kaki.

Mangsa tercampak ke atas jalan akibat pelanggaran itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 8.32 malam oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak.

Barry berkata pemandu yang bekerja sebagai jurulatih kursus, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans kenderaan berkenaan telah tamat tempoh pada 30 Oktober 2025,” katanya.

Kenderaan Perodua Alza berwarna perak itu telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom, manakala pemandu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, mengambil gambar serta mengesan saksi yang boleh membantu siasatan.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, dengan anggota polis dari IPD Padawan menjalankan kawalan trafik.

Oleh Connie Chieng