Wanita maut, tiga cedera kemalangan Proton Persona-lori di Pan Borneo Betong-Sri Aman

Facebook
WhatsApp
SEORANG wanita maut manakala tiga lagi individu cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Persona dan lori Hino di Lebuh Raya Pan Borneo Betong-Sri Aman dekat Memaloi, tengah hari tadi. Foto BBP Betong

BETONG: Seorang wanita maut manakala tiga lagi individu cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Persona dan lori Hino di Lebuh Raya Pan Borneo Betong-Sri Aman dekat Memaloi, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 1.35 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 2.04 petang dan mendapati sebuah Proton Persona serta sebuah lori Hino terlibat dalam kemalangan ketika kedua-duanya dalam perjalanan dari Betong menuju Sri Aman.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk hadapan penumpang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pemandu Proton Persona yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Betong oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM), manakala kelindan lori yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pemandu lori Hino, tidak mengalami kecederaan, manakala kelindannya, mengalami kecederaan.

Pasukan bomba menggunakan teknik SAVER bersama peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Selepas kerja-kerja menyelamat selesai, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di permukaan jalan bagi memastikan laluan selamat digunakan orang awam.

Operasi dikawal pada 2.27 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 3.30 petang.

Operasi berkenaan turut melibatkan lima anggota PDRM dan lima anggota APM, selain kekuatan anggota serta aset BBP bagi kerja-kerja menyelamat dan pengurusan kemalangan.

Oleh Adi Safarman