PADAWAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Pekan Siburan dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Aidil Bolhassan, berkata suspek berusia 30 tahun itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan yang diketuai oleh Inspektor Nicodemus Branking pada jam11.20 malam.
Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman tersebut polis telah berjaya merampas dadah disyaki ketulan syabu seberat 1.62 gram.
“Nilai dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM200.
“Hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis amphetamine/ methamphetamine atau syabu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Aidil berkata, suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan serta memiliki dadah.
Tambah beliau, suspek direman selama empat hari, mulai semalam sehingga 22 Mei ini.
Kes tersebut katanya, disiasat di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Aidil menjelaskan kerjasama antara polis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan bagi membasmi gejala penyalahgunaan dadah secara menyeluruh, dan masyarakat digesa bagi membantu menyalurkan maklumat jika terdapat masalah pegedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing bagi membantu pihak polis mengambil tindakan segera.