Sarawak Energy buat laporan polis susulan komen berunsur ancaman

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Sarawak Energy telah membuat laporan polis susulan satu komen di media sosial yang didapati mengandungi bahasa berunsur ancaman terhadap syarikat berkenaan.

Menurut Sarawak Energy, komen terbabit antara lain dilihat menggesa individu atau kumpulan supaya berkumpul di premis syarikat serta melakukan tindakan yang berpotensi mendatangkan bahaya atau keganasan, termasuk merujuk kepada bahan berbahaya.

Perkara berkenaan turut dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), manakala kes kini dalam siasatan.

Sarawak Energy dalam kenyataannya berkata, pihaknya menghormati hak individu untuk menyuarakan pandangan dan membangkitkan kebimbangan secara sah.

Bagaimanapun, sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan awam akan dipandang serius dengan keselamatan pekerja, pelanggan, pengunjung dan orang awam kekal menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Sarawak Energy terus bekerjasama dengan pelanggan bagi menangani dan menyelesaikan kebimbangan berkaitan bil elektrik serta perkhidmatan.

Usaha itu termasuk memberikan penjelasan dan bantuan berdasarkan semakan terhadap akaun pelanggan secara individu.

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, kaunter khidmat pelanggan khas disediakan sepanjang September di Wisma SESCO, Kuching dan turut diperluaskan ke Sibu, Bintulu serta Miri.

Pelanggan boleh hadir bertemu pasukan khidmat pelanggan untuk membuat semakan akaun serta mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkaitan bil elektrik.

Selain itu, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 untuk mendapatkan bantuan lanjut.