MIRI: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menggesa semakan lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan penerbangan bagi operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) susulan nahas helikopter berhampiran STOLport Long Lellang.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang terkorban ketika menjalankan tugas membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar Sarawak.
“Perkhidmatan Doktor Udara merupakan talian hayat penting bagi banyak komuniti luar bandar dan pedalaman kita. Petugas perubatan serta kru penerbangan yang terlibat sedang melaksanakan perkhidmatan awam yang amat penting dan dedikasi serta pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, sebaik tiba di Miri dari Kuching kira-kira 8.20 malam tadi, beliau terus ke Pusat Operasi Kecemasan di Lapangan Terbang Miri untuk menerima taklimat serta menghadiri mesyuarat penyelarasan berhubung kejadian, termasuk urusan pengangkutan dan logistik operasi.
Selepas mesyuarat itu, beliau turut bertemu keluarga individu mangsa nahas helikopter bagi memaklumkan perkembangan terkini serta urusan operasi.
Katanya, punca nahas perlu ditentukan melalui siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi.
Lee berkata, Kementerian Pengangkutan (MOTS) bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam meningkatkan kesedaran keselamatan penerbangan dan akan meneroka peluasan inisiatif itu kepada doktor, jururawat serta petugas perubatan lain yang kerap menggunakan helikopter atau pesawat kecil bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.
“Keselamatan penerbangan bukan hanya melibatkan juruterbang, pengendali dan pesawat. Ia juga perlu merangkumi penumpang serta petugas yang bergantung kepada perkhidmatan penerbangan untuk melaksanakan perkhidmatan awam yang penting,” katanya.
Beliau berkata, kesinambungan FDS perlu terus diberi perhatian kerana banyak komuniti luar bandar bergantung kepada akses udara bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas.
“Kita mesti memastikan hubungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar terus terpelihara, sementara pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan dan semakan keselamatan yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya, tragedi itu perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh sistem keselamatan dan memastikan petugas yang berkhidmat kepada masyarakat luar bandar dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang lebih selamat.
Lee sekali lagi merakamkan simpati kepada keluarga, rakan sekerja dan insan tersayang semua mangsa yang terkorban.




