TATAU: Seorang lelaki berusia 60 tahun cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di Jalan Budi Nasib Oil Mill di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa mengalami luka ringan di muka dan berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah malam sebelum mengerahkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa didapati telah berjaya keluar dari kenderaan dan berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan kenderaan orang awam,” katanya.
Tiada operasi menyelamat dijalankan oleh pihak bomba dan operasi ditamatkan pada 1.20 pagi selepas keadaan di lokasi didapati selamat.
Oleh Carolyne Utih




