Toyota Avanza terbalik, wanita terselamat tanpa kecederaan

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN kendiri berlaku di di Jalan Sarikei-Saratok, berhampiran Taman Sebangkoi. Foto PGO Bomba Sarawak

SARIKEI, 25 November: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta Toyota Avanza dinaikinya terbalik dalam kemalangan kendiri di Jalan Sarikei-Saratok, berhampiran Taman Sebangkoi, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 5.51 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi.

“Respons dengan panggilan kecemasan, pasukan keluaran operasi (PKO) yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Unjah Janggau bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kejadian pada 6.29 pagi, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Toyota Avanza yang terbalik di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiada mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.

“Tiada mangsa tersepit, seorang mangsa wanita dewasa telah berjaya keluar sendiri dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan tiada operasi penyelamatan dijalankan.

“PKO kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembersihan permukaan jalan raya selepas kenderaan yang terlibat dialihkan menggunakan trak tunda.

“Operasi selesai sepenuhnya pada 7.40 pagi,” katanya.

Oleh Earl Anek