Lelaki 19 tahun maut selepas kereta terbalik di Jalan Bau-Lundu

Facebook
WhatsApp
MAUT DALAM KEMALANGAN... Sebuah kereta Perodua Bezza yang terbabas sebelum terbalik dan melanggar tiang gentian optik di KM15 Jalan Pan Borneo Bau-Lundu.

KUCHING, 29 Nov: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas kereta Perodua Bezza yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di KM15 Jalan Pan Borneo Bau-Lundu, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, kemalangan berlaku kira-kira 8.20 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Lundu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh, menyebabkan kereta itu terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri sebelum terbalik dan melanggar tiang gentian optik milik Telekom Malaysia.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 8.36 pagi oleh Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Bau,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Haide berkata, kemalangan berlaku di laluan menuruni bukit yang mempunyai selekoh, ketika cuaca baik dan permukaan jalan kering.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan hari ini.

Kenderaan berkenaan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.