KUCHING, 29 Nov: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak menerima dua laporan polis berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada hari penamaan calon, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala satu lagi laporan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, pada hari sama, PDRM Sarawak turut menerima 19 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik.
“Setiap program dan aktiviti politik yang diluluskan akan dipantau oleh pihak polis bagi memastikan penganjur mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Sarawak ke-13 setakat ini berada pada tahap baik dan terkawal.
Sehubungan itu, PDRM Sarawak akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta memastikan pematuhan undang-undang dan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh sepanjang tempoh pilihan raya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang akan dikenakan tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.
Orang ramai turut digesa supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan PRN Sarawak ke-13 berlangsung dalam keadaan aman, harmoni dan teratur.
Kenyataan media itu dikeluarkan oleh beliau pada 29 November 2026.




