Murid dibuli dalam talian mungkin takut ke sekolah, ibu bapa perlu peka perubahan tingkah laku anak – Nancy

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri berucap pada Program Ceria Kasih YKN di PCC, Demak.

PETRA JAYA, 29 Nov: Murid yang menjadi mangsa buli dalam talian mungkin berasa takut untuk hadir ke sekolah. Justeru, ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, buli bukan sahaja berlaku secara fizikal, malah boleh berlaku melalui telefon bimbit, termasuk ejekan berulang kali, ugutan atau perbuatan memalukan rakan dalam kumpulan sembang.

“Ibu bapa perlu mengambil perhatian sekiranya anak yang biasanya seronok ke sekolah tiba-tiba kerap memberikan alasan untuk tidak hadir.

“Jika anak berkongsi pengalaman dibuli, hubungi pihak sekolah supaya aduan dapat ditangani dan keselamatan anak diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ceria Kasih, YKN Mindness Tour Kaunseling Kasih dan Sumbangan Sesi Persekolahan 2027 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan gajet anak-anak, khususnya telefon pintar, termasuk aplikasi yang digunakan, kumpulan sembang yang disertai serta individu yang menghubungi mereka.

“Ibu bapa perlu menetapkan peraturan penggunaan gajet bersama anak-anak, selain mengetahui kata laluan telefon mereka berdasarkan usia dan tahap kematangan masing-masing.

“Pesan saya kepada murid, segera maklumkan kepada ibu bapa, penjaga atau guru sekiranya menerima mesej yang membuatkan mereka berasa takut atau tidak selesa.

SIMBOLIK penyampaian sumbangan persekolahan disempurnakan oleh Dato Sri Nancy Shukri sempena Program Ceria Kasih YKN di PCC, Demak.

“Murid juga diingatkan supaya tidak berkongsi kata laluan, alamat rumah, lokasi atau gambar peribadi dengan individu yang tidak dikenali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persediaan ke sekolah bukan sahaja melibatkan kelengkapan persekolahan, malah turut merangkumi aspek emosi murid kerana ada antara mereka yang gembira untuk bertemu rakan, manakala sebahagian lagi mungkin berasa bimbang untuk memasuki kelas baharu.

Sehubungan itu, inisiatif Mindness Tour Kaunseling Kasih oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN menyediakan bimbingan kepada murid untuk mengenali emosi serta mengetahui pihak yang boleh dirujuk bagi mendapatkan bantuan apabila berdepan tekanan.

Ibu bapa turut berpeluang berbincang dengan kaunselor PSSS mengenai cara terbaik untuk menyokong anak-anak ketika menghadapi tekanan.

Untuk rekod, program anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu turut menyediakan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 400 murid daripada keluarga kurang berkemampuan, membabitkan 25 sekolah di Kuching dan Padawan.

Setiap murid menerima baucar pakaian sekolah bernilai RM100 yang boleh ditebus di MYDIN, beg sekolah, beg aktiviti kokurikulum serta susu Dutch Lady bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga menjelang sesi persekolahan 2027.

Daripada jumlah itu, 19 sekolah merupakan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, manakala enam lagi di bawah PPD Padawan.

YKN turut merakamkan penghargaan kepada PEKEMA Sarawak, Perdana Petroleum Berhad dan Dutch Lady Milk Industries atas sumbangan serta tajaan bagi menjayakan program berkenaan.

Oleh Masrin Affirah