LAWAS, 7 November: Kawasan utara Sarawak khususnya Lawas dan Limbang memiliki kedudukan strategik dalam zon Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan kedudukan itu wajar dimanfaatkan melalui kerjasama serantau bagi memperkukuh ekonomi Sarawak secara keseluruhan.
“Kita bersyukur kerana Lawas berada pada kedudukan strategik, berjiran dengan Brunei Darussalam, Kalimantan, Indonesia, Sabah dan Labuan serta kawasan lebih luas khususnya negara-negara BIMP-EAGA.
“Kita berada betul-betul di tengah-tengah negara ASEAN. Disebabkan itu, kita telah merancang pembangunan Lawas dan Limbang serta bagaimana untuk memperkukuh perancangan pembangunan sedia ada di kedua-dua kawasan ini.
“Kita telah melantik konsultan dan tahun lepas saya mengetuai rombongan ke Eropah Tengah, iaitu Hungary, Slovakia dan Austria termasuk Vienna, kerana kita mahu melihat bagaimana negara-negara yang bersempadan dapat mempelajari pembangunan ekonomi antara satu sama lain.
“Setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dan kita boleh saling menyokong serta melengkapi antara satu sama lain bagi memperkukuh kerjasama dan integrasi ekonomi,” katanya ketika merasmikan Pesta Lawas dan Regatta Lawas 2026 di Lapangan Tebingan Sungai Lawas hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menjelaskan kedudukan itu mempunyai persamaan dengan kawasan Eropah Tengah yang memiliki kekuatan ekonomi hasil hubungan erat antara negara berjiran.
Sehubungan itu, pembangunan infrastruktur seperti Lebuhraya Pesisir Utara Sarawak (NCH) dan Jalan Penghubung Sarawak-Sarawak (SSLR) dilaksanakan bagi memudahkan perhubungan antara kawasan di Kalimantan, Brunei dan Sabah dengan utara Sarawak.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Tuan Yang Terutama Bapak Dr Abdullah Zulkifli serta kenamaan lain.
Pesta Lawas kembali memeriahkan kalendar pelancongan Lawas selepas 14 tahun tidak dianjurkan berikutan kerja-kerja pembinaan tebingan Sungai Lawas dan pandemik COVID-19.
Oleh Adeng Edrus



