LASSCAR 2026: Semangat berpasukan kunci perkhidmatan awam terbaik

Facebook
WhatsApp
MAJLIS penutupan LASSCAR 2026 menjadi platform memperkukuh semangat berpasukan, kerjasama antara agensi dan hubungan kerja dalam kalangan warga perkhidmatan awam di Kuching, malam tadi.

KUCHING: Karnival Sukan Tanah Dan Survey (LASSCAR) 2026 bukan sekadar medan pertandingan sukan, sebaliknya platform memperkukuh hubungan kerja, semangat berpasukan dan budaya kerja positif dalam kalangan warga Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) serta agensi berkaitan.

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, semangat kerjasama yang dipupuk menerusi kejohanan itu perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan amanah dan tanggungjawab jabatan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Jika kita mampu bekerjasama sebagai satu pasukan dalam Kejohanan LASSCAR pada tahun ini, semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam acara yang kita sertai, saya yakin kita juga mampu berganding bahu dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab jabatan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan LASSCAR 2026 yang turut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini, malam tadi.

DATU Awang Zamhari Awang Mahmood ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Sukan Tanah Dan Survey (LASSCAR) 2026 di Pusat Konvensyen Penview PPC Demak di Kuching, malam tadi.

Menurutnya, LASSCAR 2026 yang berlangsung dari 8 hingga 15 Ogos itu mempertandingkan 10 acara sukan dengan penyertaan keseluruhan seramai 1,581 atlet dan pegawai.

Antara acara yang dipertandingkan ialah badminton berpasukan, futsal wanita, bola jaring, dart berpasukan, pingpong berpasukan, petanque berpasukan, boling berpasukan dan VIP, bola sepak lelaki, pickleball berpasukan serta karom berpasukan.

Katanya, kejohanan kali ini turut menghimpunkan 16 pasukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeRN), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak serta 13 pasukan JTS dari seluruh Sarawak.

Awang Zamhari berkata, LASSCAR turut menjadi medan penting untuk mengenal pasti bakat dan atlet baharu yang berpotensi diketengahkan bagi menghadapi Pesta Sukan Ukur Se-Malaysia (PESUMA) ke-36 di Perlis pada 2027.

Beliau berkata, pencapaian JTS pada PESUMA ke-35 di Perak pada 2025 menjadi dorongan untuk kontinjen jabatan meningkatkan prestasi pada edisi akan datang.

DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta barisan pengurusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada majlis penutupan LASSCAR 2026 di Kuching, malam tadi.

“Pada PESUMA kali ke-35 yang telah diadakan di Perak pada 2025 yang lalu, Jabatan Tanah dan Survei telah memperoleh empat pingat emas dan piala pusingan utama kejohanan yang mana kita telah menjuarai acara bola sepak, petanque, pingpong dan dart,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai suntikan semangat kepada warga JTS untuk mengulangi malah memperbaiki pencapaian pada PESUMA 2027.

Dalam pada itu, Awang Zamhari berkata, LASSCAR turut menjadi platform persediaan warga JTS menjelang Sukan SEA 2027, susulan jabatan berkenaan diberikan amanah sebagai bapa angkat kepada kontinjen Thailand.

Beliau berkata, JTS turut merancang menyediakan kelas bahasa Thailand kepada pegawai yang berminat sebagai sebahagian persiapan menjalankan tanggungjawab berkenaan.

“Kita mempersiapkan kita sebagai bapa angkat terbaik untuk Thailand,” katanya.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar penganjuran LASSCAR dikembangkan pada masa hadapan menerusi penganjuran Karnival Sukan MUDeRN yang membabitkan agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan.

Katanya, cadangan itu dapat menyediakan satu lagi platform untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeRN).

“Bunga Serumpun di dalam jambangan, mekar bersama indah berseri, berbeza agensi satu tujuan, MUDeRN menyatu tekad dan hati,” katanya menerusi pantun yang disampaikan dalam ucapannya.

Awang Zamhari turut menegaskan bahawa semangat kesukanan tidak seharusnya terhenti selepas tirai LASSCAR 2026 dilabuhkan.

Sebaliknya, katanya, warga kerja perlu terus mengamalkan gaya hidup aktif, sihat dan seimbang kerana kecergasan fizikal turut menyumbang kepada kecergasan minda, produktiviti dan kesejahteraan warga kerja.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Timbalan Pengarah Pengurusan JTS, Roslan Putit, dengan sokongan JTS Bahagian Samarahan, Ibu Pejabat JTS, JTS Bahagian Kuching dan JTS Bahagian Serian.

“Menang atau kalah bukanlah ukuran sebenar kejayaan kita. Yang lebih penting ialah keberanian untuk mencuba, kesediaan untuk bekerjasama dan keupayaan untuk menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet, peserta dan kontinjen atas komitmen, disiplin serta semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.

Katanya, kejayaan LASSCAR 2026 diharapkan terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan ikatan kekeluargaan dalam kalangan warga JTS Sarawak dan rakan-rakan agensi yang mengambil bahagian

Oleh Afiq Sallehi