TELOK MELANO: Perlintasan sempadan darat Telok Melano, Sarawak dengan Desa Temajuk, Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia dijadual dibuka semula pada 21 Ogos ini, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Pembukaan semula laluan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua kawasan, khususnya dari aspek mobiliti, ekonomi, perdagangan dan pelancongan.
Kunjungan penulis ke perbatasan Temajuk mendapati ramai penduduk di kawasan berkenaan sudah merancang untuk berkunjung ke Telok Melano yang terletak kira-kira lima kilometer dari Temajuk, selain ke Sematan yang berjarak kira-kira 34 kilometer.

Peni, 40-an, dari Jawai, Sambas, Kalbar, berkata beliau berkunjung ke kawasan sempadan berkenaan untuk melihat keadaan di sekitar perbatasan menjelang pembukaan semula laluan tersebut.
“Jarak perjalanan dari Jawai, Sambas ke perbatasan Desa Temajuk ini sekitar tiga hingga empat jam.
“Walaupun jauh, saya mahu membawa keluarga berjalan-jalan untuk melihat perkembangannya. Semoga perbatasan Temajuk lebih maju pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.
Sementara itu, Saridi, 66, dari Jawai, Sambas berkata, beliau datang bersama keluarga untuk melihat sendiri keadaan dan perkembangan di perbatasan Temajuk serta kawasan sekitarnya.

“Ini pertama kali saya datang ke sini. Selepas ini, saya berazam untuk berkunjung ke Telok Melano dan Sematan,” katanya.
Sebelum ini, Pontianak Post melaporkan Gabenor Kalbar, Ria Norsan, ketika melakukan lawatan ke Temajuk, berkata operasi Pos Lintas Batas (PLB) Temajuk disasarkan bermula pada Ogos 2026.
Menurut beliau, pembangunan kawasan sempadan Temajuk perlu disokong dengan infrastruktur yang mencukupi, termasuk akses jalan raya, rangkaian telekomunikasi, kemudahan pelancongan serta bekalan elektrik yang stabil.

Penambahbaikan infrastruktur itu penting bagi meningkatkan daya saing destinasi pelancongan sempadan, di samping memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti yang bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber mata pencarian.
Dengan pembukaan yang dijadualkan pada 21 Ogos ini, Temajuk-Telok Melano dijangka menjadi salah satu pintu strategik yang memperkukuh hubungan masyarakat di kawasan sempadan, selain meningkatkan konektiviti antara Kalbar dan Sarawak.
Oleh Adum Liu




