KUCHING: Pertandingan ‘Kuching’s Got Talent’ bukan sekadar medan mencari juara, sebaliknya menjadi platform mencungkil bakat dan membina keyakinan golongan muda untuk tampil serta melibatkan diri dalam komuniti.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, usaha itu selaras dengan Inisiatif Bandar Raya Mesra Kanak-kanak (CFCI) yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi membentuk golongan muda yang aktif, yakin dan berani mencuba.
Menurutnya, dalam era penggunaan telefon, tablet dan pelbagai peranti yang semakin meluas, golongan muda perlu digalakkan untuk keluar, berinteraksi, membina persahabatan serta meneroka potensi diri.
“Tidak kira sama ada menyanyi, menari atau membuat persembahan, perkara paling penting ialah keberanian untuk tampil ke hadapan.

“Berdiri di atas pentas di hadapan khalayak ramai bukan sesuatu yang mudah. Jadi, kepada setiap peserta malam ini, sama ada membawa pulang trofi atau tidak, anda sudah menjadi pemenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam kemuncak Kuching’s Got Talent 2026 sempena Festival Kuching, di sini malam tadi.
Pertandingan itu menampilkan lima kategori utama iaitu Nyanyian (Junior), Nyanyian (Youth), Nyanyian (Open), Tarian Kebudayaan dan Klasik serta Tarian Kontemporari dan Urban.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai sokongan berterusan Sports Toto yang menjadi penyokong dan penaja program Festival Kuching selama lebih 20 tahun.
“Atas nama MBKS dan warga Kuching, saya mengucapkan terima kasih kepada Sports Toto kerana berkembang bersama Festival Kuching dan terus menyokong komuniti kita,” ujarnya.

Pada majlis sama, dua pengunjung bertuah masing-masing membawa pulang sebuah motosikal menerusi Cabutan Bertuah Festival Kuching yang ditaja Tay Motor.
Cabutan berkenaan terbuka kepada pengunjung yang hadir ke Festival Kuching dari 22 Julai hingga malam tadi serta melengkapkan borang cabutan bertuah yang disediakan.
Dua pemenang diumumkan pada majlis berkenaan, sekali gus menambah kemeriahan malam kemuncak Kuching’s Got Talent 2026 serta penutup Festival Kuching tahun ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta, finalis dan pemenang Kuching’s Got Talent 2026, sambil menggalakkan mereka terus berlatih, memperbaiki kemahiran dan berani mengetengahkan bakat masing-masing.
Festival Kuching 2026 yang berlangsung sejak 22 Julai lalu melabuhkan tirai malam tadi.
Oleh Adele Rissa





