Kuasai Mandarin, rebut peluang ekonomi global – Abang Johari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Penguasaan bahasa Mandarin kini bukan lagi satu kelebihan, sebaliknya menjadi antara kemahiran penting bagi memastikan anak Sarawak mampu bersaing dalam ekonomi global yang semakin berkembang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, atas faktor itu kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) serta terus menyalurkan peruntukan RM10 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah Cina di Sarawak.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja bertujuan memperkasakan pendidikan, malah membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menguasai ilmu dan bahasa yang diperlukan dalam dunia perdagangan antarabangsa.

“Selain bahasa kebangsaan sebagai identiti negara, bahasa Inggeris dan Mandarin juga penting dalam ekonomi global.

“Kita ialah sebuah ekonomi yang bergantung kepada perdagangan. Kita mengeksport minyak sawit dan gas asli cecair (LNG) ke China. Jika mahu berniaga dengan mereka, kita perlu memahami bahasa mereka supaya rundingan dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Reunion Alumni Global Universiti Nanyang di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, penguasaan bahasa Mandarin juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada penterjemah yang berkemungkinan menyebabkan mesej atau maksud sebenar tidak disampaikan dengan tepat.

“Kalau pergi ke China dan boleh bercakap dalam bahasa Mandarin, semuanya ‘sap sap sui’. Kalau tidak, kita terpaksa bergantung kepada penterjemah,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, usaha membangunkan modal insan turut diperkukuh melalui pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak.

Universiti berkenaan ialah Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, i-CATS University College dan University Technology Sarawak (UTS), yang menawarkan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang layak.

Menurut beliau, sebahagian besar program yang ditawarkan memberi tumpuan kepada bidang sains dan teknologi bagi menyediakan tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

Pada masa sama, beliau berkata, pelajar bidang undang-undang juga didedahkan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) supaya mereka memahami sejarah pembentukan negara serta hak Sarawak di bawah perjanjian tersebut.

“Kita mahu generasi muda memahami Perlembagaan dan MA63 kerana ia adalah asas kepada kedudukan Sarawak dalam Malaysia,” katanya.

Tegasnya, pelaburan dalam pendidikan serta penguasaan pelbagai bahasa merupakan antara langkah penting bagi memastikan Sarawak memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.

Bagi Abang Johari, kekuatan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber alam, sebaliknya ditentukan oleh keupayaan rakyatnya menguasai ilmu, bahasa dan kemahiran yang diperlukan untuk mendepani ekonomi masa depan.

Oleh Afiq Sallehi