SMK Bukit Goram perkukuh kemudahan pendidikan di Kapit

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika menyempurnakan penyerahan surat setuju terima (SST) dan majlis pecah tanah projek pembinaan SMK Bukit Goram hari ini.

KAPIT, 20 November: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram bernilai RM96.8 juta dijangka memperkukuh kemudahan pendidikan di Kapit, selain membantu mengurangkan kesesakan di sekolah menengah sedia ada di daerah itu.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sekolah baharu itu akan dilengkapi 36 bilik darjah dengan kapasiti menampung 1,080 murid aliran perdana dan 35 murid berkeperluan pendidikan khas.

“Pembinaan sekolah ini penting bagi mengurangkan kesesakan di sekolah menengah sedia ada di Kapit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan surat setuju terima (SST) dan majlis pecah tanah projek pembinaan SMK Bukit Goram di sini, hari ini.

MENTERI Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika menyempurnakan penyerahan surat setuju terima (SST) dan majlis pecah tanah projek pembinaan SMK Bukit Goram hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya, projek itu dilaksanakan oleh Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn Bhd di tapak seluas 7.189 hektar di Lot 770, Blok 13, Daerah Tanah Menuan, kira-kira tiga kilometer dari Pekan Kapit.

Sekolah berkenaan dijadualkan siap pada 16 Mei 2030.

Nanta turut berharap kontraktor dapat menyiapkan projek berkenaan sehingga enam bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

GAMBAR rekaan SMK Bukit Goram, Kapit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penjimatan kira-kira RM40 juta daripada tender pembinaan sekolah itu akan dipohon untuk membina asrama murid dan rumah guru.

“Kita akan mohon supaya penjimatan RM40 juta itu digunakan untuk mendirikan rumah kediaman guru dan asrama murid,” katanya.

Permohonan berkenaan akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan dan, jika perlu, Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan.