BAU, 20 November: Dua lelaki ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua suspek berusia 37 dan 33 tahun itu ditahan menerusi Op Bersepadu dan Op Kesan BSJND Bil. 175/2026.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan antara 11.45 hingga 11.50 pagi mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku mengambil dadah pada hari yang sama sebelum ditahan,” katanya.
Semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seorang lagi suspek pula mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Bagaimanapun, tiada dadah atau barangan lain dirampas sepanjang operasi berkenaan.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.




