Kuasai AI atau ketinggalan – Tiang

Facebook
WhatsApp
UNTUK KENANGAN.....Tiang merakam kenangan bersama para peserta Program Latihan AI anjuran SCWA dengan kerjasama SCCCI serta YPNM Sarawak, petang semalam.

SIBU: Penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan penting bagi masyarakat untuk kekal berdaya saing dalam dunia pekerjaan, perniagaan dan kehidupan seharian.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, AI sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia dan tidak lagi boleh dipisahkan daripada perkembangan semasa.

“Individu yang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran menggunakan AI berisiko berdepan jurang kecekapan yang ketara berbanding mereka yang menguasai teknologi berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Latihan AI anjuran Pertubuhan Kebajikan Pengguna Sarawak (SCWA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) serta Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sarawak, petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, perbezaan kecekapan antara individu yang menggunakan AI dengan mereka yang tidak menggunakannya boleh diibaratkan seperti perbezaan antara menaip buku menggunakan komputer dengan menulisnya secara manual.

“Bayangkan seseorang mahu menerbitkan buku menggunakan komputer dan mencetak beribu-ribu naskhah untuk dijual, manakala seorang lagi menulis menggunakan tangan dan hanya mampu menghasilkan satu naskhah pada satu-satu masa.

“Perbezaan dari segi kelajuan itu sangat besar. Begitu juga AI yang boleh membantu meningkatkan kepakaran serta menjadikan pekerjaan dan operasi syarikat lebih cekap, pantas dan berkesan,” jelasnya.

Tiang berkata, perkembangan teknologi telah melalui beberapa fasa revolusi bermula dengan komputer, sistem pengoperasian, internet, enjin carian seperti Google dan media sosial sebelum memasuki gelombang baharu menerusi AI.

Katanya, persaingan antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China kini bukan hanya berkaitan perdagangan, sebaliknya turut melibatkan penguasaan teknologi.

“Teknologi memberikan kuasa untuk bersaing, memberikan kelebihan berbanding pesaing dan juga keupayaan untuk mengawal pasaran.

“Begitu juga dengan individu. Apabila seseorang mempunyai kemahiran dan pengetahuan AI, mereka akan menjadi lebih kompetitif serta mempunyai kelebihan dalam pasaran,” ujarnya lagi.

Tambahnya, pengetahuan AI bukan sahaja penting untuk meningkatkan produktiviti, malah menjadi satu bentuk pertahanan kepada masyarakat, khususnya dalam menghadapi penipuan menggunakan teknologi.

Tiang turut mencadangkan supaya lebih banyak bengkel AI dianjurkan di peringkat komuniti, termasuk menyasarkan golongan warga emas.

“Kita perlu membawa pengetahuan AI kepada golongan warga emas dan masyarakat umum serta menjadikan akses kepada pengetahuan ini lebih mudah supaya mereka boleh mempelajari asas AI,” ujar beliau.

Beliau berkata, masyarakat yang memahami AI akan lebih berupaya mengenal pasti kandungan palsu dan penipuan yang dihasilkan menggunakan teknologi tersebut.

“Pada masa ini, AI digunakan untuk menipu warga emas. Jika kita sendiri memahami dan menggunakan AI, kita akan lebih tahu membezakan apa yang benar dan apa yang tidak benar.

“Ini penting sebagai langkah keselamatan dan untuk memberikan masyarakat kuasa mempertahankan diri daripada kegiatan penipuan,” katanya.

Beliau mengakui AI turut membawa cabaran, termasuk persaingan terhadap pekerjaan manusia dan isu kawal selia.

“Saya menggesa pihak pentadbiran, kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak supaya segera melihat aspek kawal selia AI dari sudut undang-undang bagi memastikan teknologi ini tidak disalahgunakan sehingga membawa kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung SCWA Jimmy Ling Yee Kung dan Presiden SCCCI Kapitan Ngu Ing Hong.

Oleh Akun Giman