
SIBU: Kelab Pidato Sibu (KPS) menjadi cabang Kelab Toastmaster pertama yang menggunakan bahasa Melayu di sini selepas dilancarkan secara rasmi, hari ini.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau yang telah diwakili oleh Setiausaha Sulitnya, Stanley Chiew.
Lau dalam ucapannya berkata, pelancaran kelab itu merupakan satu detik bersejarah, terutama dalam memupuk kemahiran berucap dan kepimpinan.
“Hari ini kita menyaksikan detik bersejarah dalam bidang komunikasi dan kepimpinan di Sibu dengan penubuhan rasmi Kelab Pidato Sibu, Kelab Toastmaster pertama di Sibu yang menggunakan bahasa Melayu.
“Kelab ini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk mengasah kemahiran pengucapan awam dan komunikasi, tetapi juga platform bagi memupuk pemimpin masa depan yang yakin, berani dan berkebolehan.
“Dalam dunia yang semakin mencabar, komunikasi yang berkesan adalah aset penting bagi setiap individu, sama ada dalam konteks profesional, sosial atau kepimpinan,” katanya.
Pada masa sama, Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang turut melahirkan rasa bangga sambil menyatakan pelancaran itu bukan sahaja memartabat bahasa Melayu sebagai medium utama pengucapan awam, tetapi juga mengukuhkan perpaduan dan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai di Sibu.
Beliau turut menekankan bahawa bahasa adalah alat mempunyai peranan penting bagi memupuk perpaduan dan melalui kelab ini, para peserta boleh memupuk kefasihan, keyakinan dan kemahiran berpidato.
Lau yakin kelab itu akan memainkan peranan penting dalam membangunkan individu yang berkemahiran dan berkeyakinan tinggi.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Toastmasters Kawasan S2 Dr Renco Yong serta Presiden KPS Patricia Chek Rima.