KUCHING: Konsert Tribute to P. Ramlee ‘Malam Getaran Jiwa’ anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching dan TV Sarawak (TVS) berjaya menghidupkan kembali nostalgia karya seni legenda, Tan Sri P. Ramlee, melalui persembahan memukau oleh artis berbakat Sarawak.
Majlis yang berlangsung meriah turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Muadzam Shah, Kuching semalam.
Acara tersebut menampilkan persembahan muzik orkestra iringan yang dipimpin secara profesional, mengiringi nyanyian artis terkenal Sarawak seperti Nurhamimah Borhan, Mohd Firdaus Abu Bakar, Ahmady Sapuan, Chien Ng, Hairee Francis, dan Nurhijrah Yahya serta penampilan khas penyanyi tersohor, Azie Mustapha yang turut menyemarakkan suasana malam penuh emosi itu.
Selain itu, sebuah sketsa lakonan pendek memaparkan babak ikonik menerusi filem arahan P. Ramlee dipersembahkan oleh artis Sarawak dan kumpulan ‘Tauke Panggung’ Wen dari Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching berjaya membawa penonton mengimbau semula keindahan skrip dan kreativiti seni legenda tersebut.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak yang setia menyokong legasi seni seniman agung negara itu.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Nordin; Pengerusi Sarawak Media Group, Kushairi Abang; Penasihat Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak, Dato Dr Adi Badiozaman Tuah; Pengerusi Pertubuhan Sanggar Kreatif Kuching, Taridi Mohamad; dan Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman.
Konsert ini bukan sahaja menjadi platform untuk memartabatkan karya seni P. Ramlee tetapi juga bukti bahawa generasi muda Sarawak mampu menghidupkan kembali legasi seni tanah air. – UKAS