Tiga warga Indonesia ditahan disyaki ceroboh Hutan Simpan Semula Jadi Matang

Facebook
WhatsApp
TIGA warga Indonesia ditahan SFC kerana disyaki menceroboh kawasan Hutan Simpan Semula Jadi Matang, dekat sini, kelmarin. Foto SFC

KUCHING: Tiga warga Indonesia ditahan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kerana disyaki menceroboh kawasan Hutan Simpan Semula Jadi Matang, dekat sini, kelmarin.

Menurut kenyataan media SFC, tangkapan dilakukan oleh Renjer SFC menerusi operasi penguatkuasaan selepas ketiga-tiga suspek dikesan berada di dalam kawasan rizab semula jadi berkenaan tanpa kebenaran.

Dalam operasi tersebut, SFC turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti suspek, termasuk satu unit jaring kabut (mist net), dua bilah parang, sebuah sangkar burung serta sebalang plastik yang mengandungi ikan.

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentral Kuching untuk ditempatkan di situ bagi membolehkan tindakan dan siasatan lanjut dijalankan.

Pada pagi 21 September lalu, permohonan reman selama empat hari terhadap ketiga-tiga suspek telah dikemukakan di Mahkamah Majistret Kuching.

Mahkamah kemudiannya membenarkan perintah reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

SFC menegaskan bahawa sebarang bentuk pencerobohan, kemasukan tanpa kebenaran atau aktiviti tidak sah di kawasan terlindung sepenuhnya (TPA) merupakan kesalahan serius dan tidak akan dipandang ringan.

SFC turut memberi jaminan akan terus mempergiat rondaan, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan bagi melindungi kawasan rizab semula jadi, habitat hidupan liar dan biodiversiti Sarawak daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Oleh Adi Safarman