BELAGA: Empat rumah kayu di Uma Badeng, Sungai Asap, terbakar dalam kejadian pagi ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.05 pagi.
“Dua rumah terbakar sepenuhnya, manakala dua lagi hanya mengalami kebakaran di bahagian dapur. Kebakaran berjaya dikawal dan tiada kemerebakan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga membabitkan 10 anggota bersama sebuah CFRT dan sebuah kenderaan Navarra dikejarkan ke lokasi.
PBS Sungai Asap turut membantu operasi pemadaman sementara pasukan BBP Belaga masih dalam perjalanan ke lokasi ketika maklumat awal kejadian diterima.
Operasi berdepan cabaran jarak sejauh kira-kira 90 kilometer serta laluan jalan yang sempit dan ketiadaan liputan komunikasi di lokasi.
Maklumat lanjut mengenai punca dan jumlah kerugian masih menunggu pemeriksaan pasukan bomba di lokasi.





