Jaringan jalan baharu, komoditi bernilai tinggi perkukuh pembangunan

Facebook
WhatsApp
DATO’ Sri Huang Tiong Sii menyerahkan bantuan MRP kepada penerima. Foto Pusat Khidmat DUN Repok

SARIKEI: Pembangunan Sarikei terus diperkukuh bukan sahaja menerusi bantuan kepada komuniti, malah melalui perancangan jaringan jalan baharu dan penerokaan potensi komoditi bernilai tinggi.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, antara pembangunan yang diberi perhatian ialah Projek Jalan Bypass Sarikei sepanjang 4.95 kilometer.

“Projek tersebut akan menghubungkan bandar Sarikei dengan kawasan pinggiran di sebelah Batang Rajang, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan ini.

“Pembangunan infrastruktur seperti jalan penghubung baharu penting bagi meningkatkan hubungan antara kawasan, memudahkan pergerakan penduduk dan menyokong aktiviti ekonomi setempat.

“Pada masa yang sama, potensi komoditi bernilai tinggi turut diteroka sebagai sebahagian daripada usaha memacu pembangunan dan membuka ruang pertumbuhan ekonomi di Bahagian Sarikei,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Sarikei di Pusat Khidmat DUN Repok, hari ini.

Dalam pada itu, berkata, sebanyak 15 pertubuhan, persatuan dan jawatankuasa pengurusan menerima bantuan menerusi MRP bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan keperluan komuniti.

Katanya, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan keperluan masyarakat di kawasan itu diberikan perhatian.

“Apa yang saya janji, saya tunaikan. Apa yang telah dijanjikan kepada masyarakat bukan sekadar kata-kata, sebaliknya akan terus diusahakan supaya dapat dilaksanakan.

“Sokongan kepada pertubuhan dan persatuan membolehkan organisasi tersebut meneruskan pelbagai aktiviti serta memainkan peranan dalam memenuhi keperluan komuniti masing-masing,” katanya.

Tambahnya, usaha memperkukuh infrastruktur, meneroka potensi ekonomi baharu dan menyalurkan bantuan kepada komuniti dilaksanakan bagi menyokong pembangunan Sarikei secara berterusan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas perhatian dan sokongan berterusan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan membantu komuniti setempat.

Oleh Earl Anek