
SIBU: Kerajaan Sarawak tetap komited memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi luar bandar menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.
Beliau berkata, pelbagai peruntukan RTP disalurkan bagi memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian khusus dalam aspek infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
“Penduduk rumah panjang di sini terus berusaha sedikit demi sedikit untuk menyiapkan pembinaan rumah panjang baharu mereka.
“Saya sebagai ADUN Tamin akan terus menyokong dan membantu penduduk rumah panjang lain di kawasan ini yang berhasrat membina rumah panjang baharu di lokasi lebih besar, tinggi dan selamat terutama daripada ancaman bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temawai Lama, Ulu Siong Kanan, Rumah Periggie Anak Agam, semalam.
Malah, beliau turut berkongsi perkembangan positif berkaitan akses perhubungan di kawasan itu susulan pembinaan menara telekomunikasi di Siong, sekali gus meningkatkan liputan rangkaian kepada penduduk.
“Saya dimaklumkan terdapat 36 menara telekomunikasi telah dibina di kawasan DUN Tamin. Selain itu, bekalan elektrik juga hampir mencapai 100 peratus penyambungan ke rumah panjang dalam kawasan ini.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangunkan kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.
Pada majlis itu, Gira turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM255,000 kepada JKKK Temawai Lama, Ulu Siong, termasuk RM100,000 melalui Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi pembelian bahan binaan.
Sebanyak RM150,000 turut diperuntukkan untuk projek naik taraf tempat letak kereta menerusi RTP, manakala RM5,000 diberikan kepada Biro Wanita Rumah Panjang Tr. Periggie Agam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di kawasan itu agar terus peka dalam menyediakan kediaman yang selamat demi memperkukuh sosio-ekonomi mereka.
Turut hadir, Wakil Pejabat Residen Sibu, Haider Kowel Bete; Wakil Pejabat Daerah Sibu, Penghulu Kawasan Siong, Endy Jemat; serta ketua kaum dan masyarakat setempat.
Oleh Tarani Lanting