Kesalahan dadah berulang, lelaki di Serian dipenjara lima tahun, dua sebatan

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki berusia 26 tahun dari Kampung Tangga, Serian dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas didapati melakukan kesalahan dadah berulang. Foto IPD Serian

SERIAN, 14 Oktober: Seorang lelaki berusia 26 tahun dari Kampung Tangga, di sini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan dadah secara berulang.

Menurut kenyataan media Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian hari ini, lelaki berkenaan turut diperintahkan menjalani perintah pengawasan selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Hukuman itu dijatuhkan di Mahkamah Sesyen 4, Kuching, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dibaca bersama Seksyen 39C(1) akta sama, yang memperuntukkan tindakan terhadap kesalahan berulang.

IPD Serian menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serian, akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pengedar serta pengguna dadah yang melakukan kesalahan berulang.

Tindakan penguatkuasaan itu bertujuan membanteras kegiatan dadah dan memastikan individu yang berulang kali melakukan kesalahan berkenaan berdepan tindakan undang-undang sewajarnya.

PDRM turut mengingatkan bahawa kesalahan berkaitan dadah boleh membawa implikasi undang-undang yang serius, terutama bagi individu yang mengulangi kesalahan sama.

Oleh Adi Safarman