APM Saratok pantas alih pokok tumbang halang laluan utama di Jalan Disso

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Saratok sedang mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan utama di kawasan Disso, Saratok. Foto: APM Saratok

SARATOK, 14 Oktober: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan utama di kawasan Disso, di sini petang tadi.

Kejadian itu dilaporkan oleh orang awam menerusi panggilan kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah Saratok pada 5.26 petang, memohon bantuan bagi membersihkan laluan yang terhalang akibat kejadian berkenaan.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, seramai empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada 5.28 petang dan tiba lima minit kemudian, iaitu pada 5.33 petang.

Menurutnya, anggota bertugas segera menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan bersesuaian bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dengan selamat.

“Operasi berjalan lancar dan pokok tumbang berjaya dialihkan sepenuhnya. Kawasan terjejas turut dibersihkan sehingga jalan berkenaan dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

POKOK tumbang berjaya dialihkan sepenuhnya dan jalan berkenaan dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan. Foto APM Saratok

Operasi yang melibatkan empat anggota itu selesai pada 6.10 petang, dengan jarak perjalanan kira-kira lima kilometer dari pangkalan ke lokasi kejadian.

Sebelum operasi dijalankan, ketua skuad terlebih dahulu memastikan keadaan di lokasi selamat serta setiap anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dengan betul bagi mengelakkan sebarang risiko sepanjang kerja-kerja pembersihan.

Dalam pada itu, APM Saratok menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang berisiko berlaku pokok tumbang, khususnya ketika cuaca buruk.

Orang awam turut disaran agar segera menghubungi bilik gerakan APM sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera.

Oleh Adi Safarman