RM293,000 atasi masalah takungan air di SK Suri

Facebook
WhatsApp
SESI serah tapak di SK Suri yang melibatkan JPS Bahagian Betong, BDDA, Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta kontraktor yang dilantik, Syarikat Rita Boleh. Foto: Douglas Uggah Embas Official

DEBAK, 14 Oktober: Masalah takungan air yang sering berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Suri, khususnya ketika hujan lebat, bakal ditangani menerusi pelaksanaan projek pembinaan sistem perparitan baharu bernilai RM293,000 di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Permulaan projek itu ditandai dengan sesi serah tapak di SK Suri yang melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, BDDA, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.37 Bukit Saban serta kontraktor yang dilantik, Syarikat Rita Boleh.

Projek berkenaan turut merangkumi kerja pembersihan parit tanah sepanjang kira-kira 1.3 kilometer di belakang kawasan sekolah hingga ke Sungai Suri bagi melancarkan aliran air keluar dari kawasan berkenaan.

Sistem perparitan sedia ada yang kurang berkesan dan sebahagiannya mengalami kerosakan dikenal pasti sebagai antara punca air bertakung di kawasan sekolah setiap kali hujan lebat, terutama di bahagian belakang bangunan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pelaksanaan projek itu penting bagi menangani masalah saliran yang boleh menjejaskan keselesaan persekitaran sekolah.

“Kita mahu masalah takungan air di kawasan sekolah ditangani dengan baik melalui sistem perparitan yang lebih berkesan. Aliran air perlu lancar supaya persekitaran sekolah lebih selesa untuk murid dan warga sekolah,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Saban turut menegaskan kepentingan memastikan kerja-kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi serta jadual yang ditetapkan supaya projek berkenaan mencapai matlamatnya.

“Saya berharap kontraktor dapat melaksanakan kerja dengan baik serta mematuhi spesifikasi dan jadual yang ditetapkan. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan projek ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya,” katanya.

Dalam sesi serah tapak itu, wakil kontraktor turut diberikan penerangan oleh JPS Bahagian Betong mengenai skop kerja dan keperluan pelaksanaan projek bagi memastikan kerja-kerja dapat dijalankan mengikut perancangan.

Sementara itu, Guru Besar SK Suri, Dayang Nora Abang Sa’it, merakamkan penghargaan kepada Uggah serta kerajaan Sarawak atas peruntukan BDDA yang membolehkan projek berkenaan direalisasikan.

Pelaksanaan projek itu diharap dapat meningkatkan keberkesanan sistem saliran, mengurangkan masalah air bertakung serta mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih kondusif demi kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Oleh Adi Safarman