AADK Serian perkasakan kesedaran bahaya dadah dalam kalangan murid SMK Tebedu

Facebook
WhatsApp
CERAMAH pendidikan antidadah yang disampaikan AADK Daerah Serian di SMK Tebedu. Foto AADK Daerah Serian

TEBEDU, 14 Oktober: Kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah terus diperkukuh dalam kalangan murid menerusi ceramah pendidikan antidadah yang disampaikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, semalam.

Menurut kenyataan AADK Daerah Serian, pihaknya telah memenuhi jemputan sebagai penceramah bagi Program Pemeriksaan Kemenjadian Murid dan Peningkatan Mutu Sekolah 2026 yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Ceramah bertajuk ‘Kesan Penyalahgunaan Dadah’ disampaikan oleh Helmi Acher dengan memberi penekanan terhadap bahaya penyalahgunaan dadah serta kesannya kepada kesihatan, kehidupan dan masa depan golongan muda.

Program itu bertujuan memberikan pengetahuan kepada murid supaya mereka lebih memahami risiko penyalahgunaan dadah, sekali gus membina kesedaran untuk menjauhi gejala berkenaan.

Selain ceramah, program turut diserikan dengan pameran antidadah yang diketuai oleh Faizeli Ahmad bersama dua anggota AADK Daerah Serian.

MURID SMK Tebedu meneliti bahan pameran antidadah bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Foto AADK Daerah Serian

Pameran berkenaan menyediakan pendedahan dan maklumat berkaitan bahaya dadah, di samping menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjauhi pengaruh negatif yang boleh menjejaskan masa depan.

Usaha seumpama itu diharap dapat memperkukuh pengetahuan dan kesedaran murid dalam membuat keputusan yang bijak, selain membentuk generasi muda yang berdaya tahan terhadap ancaman penyalahgunaan dadah.

Pendidikan dan pencegahan sejak di bangku sekolah dilihat sebagai antara langkah penting dalam memupuk sikap bertanggungjawab serta membina masa depan generasi muda yang bebas daripada dadah.

Oleh Adi Safarman