Michael Kong lawat mangsa kebakaran Jalan Semaba, hulur bantuan kewangan

Facebook
WhatsApp
PRIHATIN… Michael Kong Feng Nian mengadakan lawatan susulan bagi meninjau keadaan Puan Chai selepas kediamannya mengalami kerosakan akibat kebakaran sebuah kilang perabot berhampiran.

KUCHING, 14 Oktober: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian mengadakan lawatan ke kediaman seorang mangsa kebakaran di Jalan Semaba bagi meninjau keadaan rumah yang mengalami kerosakan akibat kebakaran sebuah kilang perabot pada penghujung Ogos lalu.

Beliau berkata, kebakaran yang bermula di kilang perabot berkenaan telah merebak ke rumah berhampiran milik seorang wanita dikenali sebagai Madam Chai sehingga menyebabkan kerosakan yang serius.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan Madam Chai terpaksa menanggung beban kewangan yang besar bagi membaik pulih kediamannya, lebih-lebih lagi kerana rumah tersebut tidak mempunyai perlindungan insurans kebakaran.

Michael berkata, beliau menghargai keprihatinan pemilik kilang perabot terbabit yang tampil membantu menanggung kos pembaikan rumah mangsa.

Katanya, usaha sedemikian amat penting dalam membantu mangsa yang terjejas untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

LAWATAN…Michael Kong Feng Nian meninjau keadaan kediaman Madam Chai yang terjejas akibat kebakaran di Jalan Semaba, Kuching.

Dalam lawatan itu, Michael turut menyerahkan bantuan kewangan kepada Madam Chai bagi meringankan beban yang ditanggung serta membantu kerja-kerja membaik pulih kediamannya yang sedang dijalankan.

“Walaupun bantuan ini mungkin tidak dapat menampung keseluruhan kos kerosakan, saya berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban Madam Chai dalam usaha memulihkan kediamannya.

“Proses pemulihan selepas kebakaran bukan sekadar membaiki kerosakan fizikal, malah turut melibatkan beban kewangan yang besar kepada mangsa, khususnya apabila terpaksa menanggung sendiri kos pembaikan.

“Saya berharap dengan bantuan daripada pemilik kilang serta sumbangan kewangan tambahan ini, Madam Chai dapat memulihkan kediamannya secara berperingkat,” katanya.

Michael turut memaklumkan bahawa beliau akan terus mengikuti perkembangan keadaan Madam Chai bagi memastikan proses pemulihan kediamannya mendapat perhatian sewajarnya.

Oleh Connie Chieng