
SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam mempromosikan dan memupuk potensi kreatif pengkarya seni dengan menyediakan platform bagi mempamerkan karya golongan seni itu di seluruh pelosok negeri.
Setiausaha tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Desmond Douglas Jerukan berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan Sarawak bersedia menubuhkan galeri seni sendiri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
”Dengan adanya galeri seni di bawah kelolaan negeri kita sendiri, ia akan menyediakan ruang khusus untuk memupuk bakat seni tempatan dan mempamerkan karya kreatif dari seluruh negeri.
”Sehubungan itu, kita telah mengenal pasti Pejabat Residen lama Kuching di Jalan Barrack di Kuching sebagai tempat untuk menubuhkan galeri itu,” katanya.


MENARIK… Antara karya seni yang dipamerkan di Hoan Gallery sempena pameran seni ’Through The Canvas, Across The Sea’.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri pelancaran pameran seni ’Through The Canvas, Across The Sea’ di Galeri Hoan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, katanya penubuhan galeri itu diyakini dapat menjadi mercu tanda budaya di negeri ini.
”Para pegawai dari kementerian juga telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Singapura untuk meneroka inspirasi serta idea inovatif bagi menjadikan bangunan bersejarah ini kelak menjadi ruang seni bertaraf dunia,” tambahnya.
Untuk rekod, pameran ‘Through the Canvas, Across the Sea’ bermula pada 21 Mac hingga 20 April dan dibuka dari 9.30 pagi hingga 6.30 petang.
Pameran ini menampilkan lebih 50 karya seni daripada lima artis terkenal Semenanjung Malaysia, iaitu Dato Chong Hon Fatt, Voon Kim Cheong, Lee Choon Kooi, Loo Hooi Nam, dan Tham Siew Moi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Gerald Rentap Jabu, dan isterinya Rosemary Wong, serta pengarah Galeri Hoan Hoan Kee Huang dan pengurus besar HSL Augustine Law.
Oleh Rynna Sha’erra