
BINTULU: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak terus komited dalam usaha membantu golongan yang memerlukan dengan menyerahkan sumbangan sebuah katil hospital (gunasama) serta dana seikhlas hati kepada seorang pesakit kanser di sini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Khas ADUN Jepak, Shahrezy Sulaiman kepada Normah Bolhassan, mewakili bapanya, Bolhassan Karim yang menghidap kanser paru-paru tahap empat hingga lima.
Turut hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak, Noriha Ali bersama Bendahari PBB Jepak, Shaebah Rosli dan wakil Alpro Pharmacy Medan Jaya, Agnes Yong dan Athirah.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, ADUN Jepak, Iskandar Turkee berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pusat khidmat beliau dalam menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan khususnya pesakit yang memerlukan kemudahan perubatan di rumah.
“Kami memahami bahawa pesakit yang menjalani rawatan di rumah memerlukan keselesaan dan sokongan yang mencukupi.
“Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk menyediakan bantuan yang diperlukan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga,” katanya.
Oleh Carolyne Utih