SIBU: Kerja-kerja pembinaan utama akan dilaksanakan di sepanjang Jalan Salim bermula esok.
Jurucakap Lembaga Air Sibu (LAS) dalam satu kenyataan memaklumkan projek itu adalah sebahagian daripada usaha menaik taraf Loji Salim daripada kapasiti 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD untuk meningkatkan bekalan air di Sibu.
Katanya, projek yang dijangka dilaksanakan selama enam bulan akan melibatkan pelbagai kerja pembinaan termasuk pemasangan paip MSCL berdiameter 1200mm, pelebaran jalan, penebangan pokok, pemancangan dan pembinaan ruang bawah tanah.
“Laluan terlibat meliputi kawasan dari kompleks beli-belah Sing Kwong hingga ke Bulatan Bukit Lima.
“Kerja-kerja akan dijalankan dua kali sehari iaitu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan 7.00 malam hingga 5.00 pagi,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, LAS memberitahu pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada ketika melalui kawasan terbabit dan mematuhi segala langkah keselamatan disediakan termasuk papan tanda amaran dan had laju.
Sebarang perubahan jadual kerja, kata jurucakap itu, akan dimaklumkan oleh LAS dari semasa ke semasa.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi hotline 24 jam SWB di talian 013-8106311 atau melalui e-mel di enquiries@swb.gov.my.