SIBU: Kerani wanita terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian RM1,480 akibat menjadi mangsa tipu muslihat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat berkata, kejadian bermula pada 5 Mei lalu apabila pengadu, 39,menerima panggilan telefon dan WhatsApp daripada nombor yang sama memperdayakan pengadu dengan helah tersalah hantar nombor One-Time Password (OTP)
“Pengadu telah membuat semakan pada telefonnya dan mendapati ada menerima satu nombor OTP.
“Pengadu yang terpedaya dan yakin bahawa orang tersebut telah tersalah nombor telefon kemudian telah mendedahkan nombor OTP tersebut kepada suspek,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang semalam.
Katanya, pada hari berikutnya semasa membuat penyemakan di bank pengadu telah mendapati berlaku permindahan wang sebanyak RM1,480 dalam akaun bank miliknya ke dalam satu lagi akaun bank lain.
“Pengadu kemudian menyedari bahawa dirinya telah ditipu setelah mendedahkan nombor OTP tersebut dan membuat laporan polis,” ujarnya.
Menurutnya, modus operandi saspek memperdayakan pengadu untuk menyerahkan nombor OTP yang bertujuan untuk memindahkan wang milik pengadu ke akaun saspek dengan cara berpura pura tersalah mengirim nombor OTP ke nombor pengadu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Oleh Akun Giman