KUCHING: Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, Kerajaan Sarawak dan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong dan mempromosikan aktiviti seperti perayaan pesta Kuih Bulan ini untuk diteruskan bagi menjaga kesatuan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.
Menurut beliau, pihak kerajaan sentiasa menggalakkan dan menyokong penganjuran sepanjang aktiviti sempena pelbagai perayaan bagi membolehkan seluruh rakyat di negeri ini meraikannya tanpa mengira kaum.
Katanya, secara tidak langsung ini akan dapat membina sebuah masyarakat yang harmoni dan seluruh rakyat hidup aman dan damai.
“Hari ini kita dapat melihat pelbagai tukang masak daripada etnik yang berlainan mengambil bahagian dalam pertandingan membuat Kek Bulan Bersalji kreatif ini.
“Pertemuan di antara pelbagai etnik ini akan memberi inspirasi baharu kepada etnik lain dari segi pertukaran idea dan inspirasi berlangsung secara spontan sekali gus memberikan suasana yang harmoni.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan membuat Kuih Bulan Bersalji Kreatif bersempena dengan Sambutan Pesta Musim Luruh, semalam.
Abdul Rahman Junaidi berkata, melalui perayaan seperti ini akan merubah persepsi daripada masyarakat yang berbilang kaum di negara ini malah Jika dilihat pada masa kini semua kaum dapat berkumpul dan meraikan Pesta Bulan bersama.
“Aktiviti seperti ini juga banyak membantu dalam menjaga hubungan baik kita sesama etnik yang lain, kita harus mengekalkan hubungan baik ini sampai bila-bila.
“Dalam pada itu, melalui perayaan seperti ini juga ia telah merubah persepsi daripada masyarakat yang berbilang kaum di negara ini malah Jika dilihat pada masa kini semua kaum dapat berkumpul dan meraikan Pesta Bulan bersama,” katanya.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Persatuan Tukang Masak Haw Yu dengan kerjasama rakan media, Utusan Sarawak dan Sin Chew Daily serta ditaja oleh AeroVille Mall, Liansin, Anna Liew Buffalo dan Hoi Tin Lau Restaurant Sdn. Bhd.
Seramai 25 kumpulan daripada pelbagai kaum memeriahkan pertandingan Kuih Bulan Bersalji Kreatif ini. Selain itu, majlis tersebut juga diisi dengan pelbagai acara seperti cabutan nombor bertuah dan persembahan orkestra.
Festival kuih bulan di China sebenarnya adalah peringatan hari orang Cina menentang penjajahan Mongolia.
Oleh Jeakqleyn Yacho